Oct 3, 2025
Share This Article

PANTAI TIMUR FEST 2025 ANGKAT WARISAN BUDAYA MENJELANG TMM2026

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2025 Pantai Timur Fest 2025 (PTF 2025) membuka tirainya di Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur, bermula 1 hingga 21 Oktober 2025. Festival ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia bersama Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Pahang, Tourist Information Centre (TIC) Kelantan, KL Hop-On Hop-Off, serta jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Menampilkan dua segmen utama, PTF 2025 mempromosikan hidangan warisan Pantai Timur di Zende Restaurant dan penyertaan 33 pengusaha makanan tempatan dengan lebih 30 hidangan serta persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf dan jualan produk dari 2 hingga 5 Oktober 2025 di ruang legar dan perkarangan hotel.

Para pengunjung berpeluang merasai keaslian cita rasa, keindahan seni kraf serta alunan muzik tradisional dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dibawa terus ke ibu kota. Festival ini turut diserikan dengan sokongan artis-artis ternama tanah air seperti YBhg. Dato’ Khadijah Ibrahim, Joe Wings, Radhi OAG, dan Yuletta Yucha.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Dalam ucapannya, beliau berkata: “Penganjuran program ini bertepatan dengan usaha membina momentum ke arah menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) serta merancakkan pergerakan pelancongan domestik sama ada merentasi negeri (interstate) mahupun dalam negeri (intrastate).”

PTF 2025 menjadi platform strategik untuk menjenamakan semula Pantai Timur sebagai destinasi yang menyatukan rasa, seni dan warisan dalam satu pengalaman menyeluruh. Festival ini bukan sahaja memperkenalkan ikon seperti Nasi Dagang, Tenun Pahang Diraja dan Mak Yong, malah membuka peluang ekonomi kepada penggiat seni, usahawan tempatan dan komuniti setempat.

Disasarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, festival ini turut menarik minat keluarga, pencinta makanan, peminat seni serta generasi muda yang mencari pengalaman budaya segar dan kontemporari. Lebih menarik lagi, sempena festival ini, perkhidmatan bas KL Hop-On Hop-Off akan menambah laluannya ke Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur bagi memudahkan para pelawat yang ingin hadir.

Antara khazanah seni dan warisan Pantai Timur yang diketengahkan termasuklah Tenun Pahang Diraja, pertukangan kraf tembaga Terengganu, serta rekaan barang kemas Kelantan, yang sarat nilai warisan. Pentas festival pula diserikan dengan Dikir Barat dan Mak Yong oleh Akademi Arjuna Sukma, Gendang Pahang oleh Persatuan Pusaka Gendang Pahang, alunan Gamelan oleh Kumpulan Sutera Tari, dan persembahan mistik Ulik Mayang oleh Kumpulan Mayang Sari, Terengganu.

Sepanjang 21 hari festival, Zende Restaurant Seri Pacific Hotel akan menghidangkan sajian autentik Pantai Timur seperti Nasi Dagang, Nasi Kerabu, Patin Tempoyak, Laksam dan pelbagai kuih tradisional. Hidangan moden berinspirasikan Pantai Timur juga turut ditampilkan dengan membuktikan cita rasa warisan terus segar dan relevan mengikut selera masa kini.

Secara keseluruhannya, Pantai Timur Fest 2025 mengangkat warisan, seni dan gastronomi sebagai tarikan unik yang bukan sahaja memacu ekonomi pelancongan, malah memperkukuh identiti bangsa dan menyatukan komuniti. Festival ini diyakini menjadi landasan penting menuju kejayaan Visit Malaysia 2026, sambil menawarkan pengalaman autentik kepada para pelancong.

Pada tahun 2024, prestasi pelancongan domestik mencatatkan peningkatan positif dengan rekod 260.1 juta pelawat domestik. Bagi tahun 2025, kerajaan menyasarkan ketibaan sebanyak 280 juta pelawat domestic, sekali gus dijangka memberi limpahan ekonomi yang lebih luas kepada industri pelancongan dan komuniti setempat.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Razaidi Abd. Rahim
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Domestik & Acara
razaidi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8463

Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775

Related Photos